LAWAS, 27 Julai: Warga Lawas diingatkan agar bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan yang berlaku susulan cuaca panas kering dan hujan lebat kebelakangan ini.
Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong menasihatkan juga masyarakat di sini tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka bagi mengelakkan kebakaran.
Menurutnya aktiviti pembakaran terbuka tidak terkawal dan dilakukan secara sengaja akan mengakibatkan jerebu setempat berdasarkan corak pergerakan angin semasa.
Beliau berkata kerjasama rakyat dalam menghadapi fenomena cuaca kering dan panas ini amat diperlukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Kejadian-kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran hutan atau belukar secara tidak sengaja perlu dielakkan daripada berlaku terutamanya ketika cuaca panas dan kering.
“Dalam hal ini, kita menyeru kerjasama daripada semua pihak khususnya orang awam untuk lebih peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengelak atau mengawal aktiviti pembakaran terbuka di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Uji Cuba dan Latih Amal ProsedurTetap Operasi (SOP) Melaksanakan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut untuk mengatasi jerebu di daerah Lawas di sini hari ini.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pengarah Jabatan Jabatan Alam Sekitar Sarawak, John Rampai, Wakil Polis Diraja Malaysia DSP Liong Tindan dan wakil jabatan serta agensi kerajaan lain.
“Selain daripada itu, pihak kerajaan menerusi jabatan dan agensi berkaitan giat berusaha untuk mengelakkan permasalahan yang mungkin berlaku akibat kemarau yang panjang dan hujan ini,” ujarnya. -TVS