Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, hari ini. Foto: Bernama.

RM10 juta untuk mudah cara proses pendaftaran Taska, galak ibu bekerja – PM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Usaha tuntas daripada aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan diperlukan bagi menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja seterusnya merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina serta dasar sokongan keluarga.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.

“Kerajaan juga akan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta,” katanya semasa mengumumkan inisiatif ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ di sini hari ini.

Anwar berkata kadar penyertaan buruh wanita perlu dipertingkat sehingga mencecah 60 peratus supaya Malaysia lebih setanding dengan ekonomi serantau.

Beliau berkata kadar penyertaan buruh wanita masih di tahap rendah iaitu sekitar 55.5 peratus ketimbang lelaki 80.9 peratus dan jurang jantina berkenaan harus ditingkatkan sehingga mencecah 60 peratus.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memperluas jaringan perlindungan sosial dengan tiga tunjang untuk melindungi rakyat sekiranya berlaku hal-hal tidak diingini.

Beliau berkata satu daripada tunjang berkenaan adalah pencegahan melalui insurans sosial yang mencadangkan agar liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa.

“Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tahun 2023 untuk menyediakan 80 peratus geran bagi membiayai caruman Perkeso pekerja gig. Bagaimanapun, menurut data KWSP lebih 40 peratus tenaga buruh tidak mendapat perlindungan untuk simpanan,” katanya.

Tunjang kedua pula adalah menambah baik kemampanan simpanan persaraan bagi memastikan tahap simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat yang akan menempuh alam persaraan, katanya.

Satu lagi tunjang adalah perlindungan melalui bantuan sosial dengan kerajaan akan meneruskan serta menambah baik pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah.

Anwar berkata kerajaan juga akan terus mengukuhkan sistem insurans pekerjaan serta program latihan semula bagi menyediakan penganggur dengan pekerjaan selaras dengan peralihan daripada melindungi pekerjaan kepada melindungi pekerja dalam konteks ekonomi yang cepat berubah. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan