Beliau berkata, usaha ini akan lebih menekankan kepada pembiayaan ekuiti termasuk modal teroka, pendanaan awam ekuiti, ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sadaqah, serta kaedah ‘blended finance’ yang menggunakan dana daripada sumbef lebih meluas.
”Insya-Allah usaha-usaha ini akan dapat memantapkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia seterusnya memperkukuh kedudukan kita sebagai peneraju ekonomi Islam global,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis peluncuran Ekonomi Madani:Memperkasakan Rakyat, di sini, hari ini.
Anwar berkata, pembaharuan kewangan Islam juga bakal memanfaatkan pertumbuhan dana alam sekitar, sosial dan tatakelola (ESG) sedunia.
Menurutnya, usaha pembangunan negara yang holistik dan MADANI tidak mungkin tercapai tanpa sistem kewangan yang adil, ihsan dan berlandaskan maqasid syariah.
“Alhamdullilah, kita mempunyai sistem kewangan Islam yang serba lengkap. Sejak penubuhan Bank Islam 40 tahun lalu dan Lembaga Tabung Haji 60 tahun lalu, kewangan Islam kita diiktiraf sebagai terbaik dunia oleh penganalisis bebas,” katanya.
Ketika ini bahagian pasaran perbankan Islam daripada jumlah pembiayaan adalah sebanyak 44.5 peratus (RM974.1 billion) manakala pasaran modal Islam pula kekal sebagai komponen utama pasaran modal Malaysia, menyumbang 64.3 peratus (RM2.32 trilion). -TVS