KUCHING, 25 Julai: Penyanyi Baby Shima mengumumkan hasratnya mahu bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijadualkan pada 12 Ogos depan.
Perkara itu didedahkan menerusi video di Instagramnya hari ini.
Bagaimanapun penyanyi dangdut yang turut dikenali di Indonesia itu tidak mendedahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi pilihannya.
“Saya ingin mengumumkan akan bertanding PRN untuk berkhidmat dan membela rakyat. Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya,” katanya.
Penyanyi yang sering mendapat perhatian netizen itu juga belum mendedahkan manifestonya namun memberi jaminan akan menyelesaikan beban rakyat terutama masalah yang dihadapi oleh golongan muda.
Dalam pada itu, dia juga tidak kisah jika ada pihak yang tidak menyokong hasratnya.
“Saya tidak boleh halang jika ada yang mengecam. Niat saya cuma mahu membantu masyarakat,” tambahnya.
Sebelum ini, bekas pemain bola sepak Sabah FC, Baddrol Bakthiar juga dikaitkan akan bertanding sebagai calon PRN di Kedah.
Spekulasi itu diperkuatkan lagi apabila bekas pemain kebangsaan itu meninggalkan skuad Badak ‘serta-merta’ ketika saingan Liga Super 2023 masih belum berakhir. – TVS