KUCHING, 24 Julai: Pembatalan acara dan isu had umur merupakan perkara yang memerlukan penelitian sebelum penetapan peraturan oleh Jawatakuasa Teknikal Para Sukma 2024 dimuktamadkan, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri itu berkata, ini kerana Sarawak selaku tuan rumah temasya sukan berkenaan pada tahun depan, tidak mahu menanggung kesan disebabkan oleh keputusan saat akhir.
Kata beliau, suara Sarawak selaku tuan rumah wajar didengari dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal kelak.
“Mengenai isu had umur, ia belum diputuskan kerana kita selaku tuan rumah masih merayu (kepada Jawatankuasa Teknikal Para Sukma 2024) supaya had umur atlet tidak ditetapkan.
“Jika kita melihat Sukan Para ASEAN di Kemboja baru-baru ini, mereka tidak mengehadkan umur maksimum untuk bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Kick Off Jelajah Talent Identification Para Sukma Ke-21 Sarawak 2024 di Dewan Kompleks Belia dan Sukan di sini hari ini.
Berkenaan isu sama, Fatimah berkata, had umur tidak harus menjadi isu kerana atlet orang kurang upaya (OKU) harus diberi peluang untuk bertanding.
Selain had umur maksimum 45 tahun sebagai kriteria layak untuk bertanding, Fatimah menegaskan pembatalan acara pada saat akhir akibat peserta menarik diri perlu dielakkan.
“Kita mahu acara yang telah didaftarkan diteruskan walaupun terdapat dua atau tiga pasukan sahaja yang bertanding,” katanya.
Fatimah berkata, ketika Sukan Para ASEAN, sesuatu acara tetap diteruskan walaupun hanya disertai oleh dua negara.-TVS