Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin. Foto: BERNAMA

3,300 unit kuarters akan dilaksanakan pembaikan segera

ByBernama

GEORGE TOWN, 24 Julai: Polis Pulau Pinang mengenal pasti 3,300 unit kuarters anggota dan pegawai yang akan dilaksanakan pembaikan segera menerusi peruntukan tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, proses naik taraf kuarters itu secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada masyarakat selain ia turut memberi keselesaan kepada anggota dan keluarga.

“Kami akan beri fokus kepada kuarters yang lama dan usang serta pejabat yang perlu dibaiki. Tempat kerja dan kuarters yang selesa akan dapat memberi semangat yang lebih tinggi kepada anggota dan pegawai di dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

“Ketika ini pembinaan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang yang baharu juga sedang berjalan dengan pelbagai kemudahan termasuk kuarters untuk anggota dan pegawai,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Khaw berkata, peruntukan tambahan itu juga jelas menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap kebajikan anggota PDRM.

“Saya bagi pihak kontinjen PDRM Pulau Pinang mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri kita yang menitikberatkan kebajikan dan masalah kuarters yang terlalu lama dan perlu diperbaiki segera.

“Kontinjen PDRM Pulau Pinang juga akan menerima peruntukan itu untuk pembaikan segera dan kami masih menunggu pengagihan dari Kementerian Dalam Negeri kepada Bukit Aman termasuk untuk negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk selenggara kemudahan agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) antaranya PDRM.

Kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga ATM dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN termasuk PDRM. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan