KUCHING, 23 Julai: Pemain boling kebangsaan, Nur Hazirah Ramli meraih gelaran antarabangsa keduanya tahun ini apabila muncul Juara Master Remaja Bawah 21 pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Thailand, pada Sabtu.
Lebih membanggakan, kejayaan atlet berusia 20 tahun dari Sarawak itu dicatatkan dalam kategori campuran pemain lelaki dan wanita.
Nur Hazirah melakukan catatan 1,730 pin selepas menamatkan lapan permainan di Pusat Boling Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin, Bangkok.
Juara Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lepas itu menewaskan wakil tuan rumah, Ramita Sarntong di tempat kedua manakala pemain Vietnam, Lee Minh Duc di tempat ketiga.
Seorang lagi pemain remaja kebangsaan yang juga berasal dari Sarawak, Tsen Fan Yew menamatkan aksi pada kedudukan ketujuh.
Dihubungi TVS, Nur Hazirah berkata, dia sangat gembira kerana berjaya menebus kehampaan di gelanggang sama pada Kejohanan Remaja Asia, dua minggu lepas.
“Ketika itu, saya tidak mencapai sasaran peribadi untuk menang sekurang-kurangnya sebutir pingat emas.
“Oleh itu, saya gembira kerana kembali ke sini selepas seminggu dan menjulang trofi,” katanya yang membawa hadiah wang tunai RM7,289 di atas kejayaan itu.
Berkenaan saingan campuran itu, Nur Hazirah berkata, walaupun pemain perempuan menerima handicap, namun dia tidak diberikan laluan mudah.
“Rahsia kejayaan semalam ialah kekal fokus ketika hendak melakukan balingan dan jangan tinggalkan pin.
“Jurulatih turut membantu apabila membuat perancangan bagi menyesuaikan gaya permainan dengan peralatan yang dibawa,” katanya.
Nur Hazirah berkata, kejayaan itu juga ditujukan kepada seluruh rakyat Sarawak yang meraikan Hari Sarawak.
Pada Mei lepas, Nur Hazirah menjulang trofi kategori remaja pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia.
Selepas ini, dia akan meneruskan cabaran di Thailand apabila bertanding dalam kategori terbuka yang lebih mencabar. -TVS