KUCHING, 23 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berasa amat terkesan dengan berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub malam ini.
Perdana Menteri berkata, Allahyarham Salahuddin merupakan seorang sahabat setia dan perkhabaran itu merupakan satu kehilangan besar kepada beliau dan keluarga.
“Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.
Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah
“Jasa dan budinya tidak termampu dibalas,” katanya menerusi catatan di Facebook malam ini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai disahkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah pukul 9.23 malam tadi.
Pada Jumaat, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu dimasukkan ke HSB selepas mengadu mual dan mengalami muntah.
Salahuddin kemudian disahkan mengalami pendarahan otak dan menjalani pembedahan di hospital berkenaan serta dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Anwar berkata, Allahyarham Salahuddin dikenali kerana berkeperibadian tinggi kepada kawan atau lawan.
“Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
“Berehatlah, sahabatku,” tulis Anwar.
Beliau turut berdoa agar Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluarga Salahuddin serta mengampunkan segala dosamu dan diberikan tempat yang istimewa. -TVS