KUCHING, 23 Julai: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menyediakan pelbagai geran untuk membantu pemain sektor berkenaan di sini.
Setiausaha Tetap MTCP, Datu Sherrina Hussaini berkata, ia meliputi geran untuk warisan, budaya dan penganjuran acara.
“Bantuan yang disediakan termasuk kepada penyelidikan bidang pelancongan, warisan dan industri kreatif,” katanya.
Sherrina berkata ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sarawak Motif Design Challenge (SMDC) di Pustaka Negeri Sarawak hari ini.
Turut hadir, Ketua Dewan Muda, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Khairulnizam Mohamed Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli. Â
Sementara itu beliau memberitahu, perubahan nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dua tahun lalu turut merubah fokus kementerian itu dalam membantu Sarawak mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030.
Kata beliau, jika dahulu hanya sektor pelancongan dilihat sebagai salah antara penjana ekonomi Sarawak namun kini fokus turut diberikan kepada industri kreatif.
Ke arah itu kata beliau, dua sesi townhall industri kreatif dilaksanakan tahun ini yang penting bagi memberi input kepada pembangunan industri itu di Sarawak.
“Memang selama ini kita mempunyai industri kreatif namun tumpuan tidak diberikan seperti yang kita lakukan terhadap sektor pelancongan.
“Menerusi townhall, kita (mendapat idea yang) akan (digunakan) untuk mengubal polisi dan melihat semula kaedah mengangkat industri kreatif di sini,” katanya. -TVS