MIRI, 23 Julai: Seorang lelaki warganegara tempatan ditangkap atas kesalahan mengedar dadah oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Tangkapan tersebut dilakukan di sebuah bilik tingkat dua di Marina Parkcity pada jam lebih kurang pukul 12.40 tengah malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu, hasil rampasan dadah tersebut bernilai RM29,400 dengan berat sekitar 1,500 gram.
“Hasil pemeriksaan dan serbuan, pihak polis telah merampas barang disyaki dadah jenis MDMA (methylenedioxymethamphetamine),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali sebatan,” tambahnya.
Pihak polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama. -TVS