KUCHING, 22 JULAI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan buku khas sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada Majlis Jamuan Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, malam ini.
Majlis yang bermula tepat jam 8 malam itu dihadiri tetamu kehormat, barisan Kabinet negeri dan agensi berkaitan.
Penyanyi kelahiran Limbang, Bob Yusof antara barisan artis yang menghiburkan majlis malam ini termasuk Claudia Geres, Nur Hijrah Yahya, Christine Chua, Gabriel Fairuz Louis, Charlyn Dare dengan pimpinan muzik The Sarawak State Symphony Orchestra (SONS).
Usai majlis, Abang Johari serta tetamu kehormat lain menyaksikan pertunjukan bunga api di Dataran Perbarisan di sini.
Turut hadir Isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri bertanggungjawab Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta yang lain. – TVS