BINTULU, 22 Julai: Tarikh tutup pendaftaran Bintulu International Marathon 2023 (BIM 2023) dilanjutkan sehingga 30 Julai ini berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Pengarah acara itu, Ngo Sie Haw berkata, mereka yang berminat boleh segera mendaftar untuk merebut peluang memenangi hadiah keseluruhan RM100 000 yang akan diberikan kepada 120 pemenang.
Kata beliau, perlumbaan akan berlangsung pada 6 Ogos depan.
“BIM 2023 bakal menghimpunkan pelari, atlet dan peminat kecergasan dari seluruh dunia untuk menikmati landskap Bintulu yang mempesonakan.
“Di pihak penganjur, kami menetapkan sasaran untuk menarik sebanyak 4,500 penyertaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Sie Haw, empat kategori dipertandingkan melibatkan maraton penuh sejauh 42.195 kilometer (km), separuh maraton (21km) dan maraton 10 km.
“Selain itu penganjur juga memperkenalkan fun run sejauh enam km bagi memberi peluang kepada pelari pelbagai kategori,” katanya.
Yuran pendaftaran yang dikenakan untuk maraton penuh ialah sebanyak RM140, separuh maraton (RM120), 10 km (RM100) dan RM60 untuk fun run.
“Peserta bagi setiap kategori akan menerima baju larian dan pingat manakala bagi 200 pelari terbaik maraton penuh akan menerima baju,” ujarnya.
BIM dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pejabat Residen, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Wynn Wynn Enterprise (WWE).
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar di https://marathonbintulu.com/register/
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di www.bintulumarathon.com atau ikuti media sosial @bintulumarathon. -TVS