KUCHING, 22 Julai: Bersempena Sambutan Hari Sarawak, Restoran Serapi Corner mengagihkan sebanyak 600 mangkuk Laksa Sarawak secara percuma kepada orang ramai hari ini.
Menurut restoran itu, inisiatif berkenaan dilakukan sebagai usaha untuk memperkenalkan makanan warisan Sarawak kepada ramai orang.
“Laksa Sarawak dipilih kerana ia merupakan hidangan ikonik di sini,” jelas restoran itu menerusi kenyataan.
Sebagai entiti perniagaan di Bumi Kenyalang, Serapi Corner juga berharap mereka akan terus menerima sokongan daripada masyarakat tempatan dan terlibat dalam usaha memajukan Sarawak.
Serapi Corner merupakan sebuah restoran terkenal di Kuching yang menyajikan masakan Melayu asli yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
Serapi Group sebelum ini juga telah menubuhkan Serapi Care bagi memberi khidmat dan melaksanakan pelbagai program untuk masyarakat di Kuching.
Mereka juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak pada Ramadan lepas untuk memberi bantuan kepada keluarga yang memerlukan. -TVS