KUCHING, 22 Julai: Pendaftaran awal bagi Persidangan Makanan ASEAN ke-17 (AFC2023) yang akan diadakan di Bandaraya ini akan dilanjutkan kepada 9 Ogos depan.
Menurut kenyataan Place Borneo, inisiatif itu memberi peluang kepada peserta AFC2023 menikmati kadar diskaun istimewa.
Kenyataan mendedahkan pihaknya turut bekerjasama dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly Airlines untuk menawarkan diskaun harga penerbangan eksklusif.
“Promosi potongan harga awal adalah 25 peratus akan ditawarkan sehingga 31 Julai,” jelas kenyataan.
Justeru itu, AFC2023 mempelawa profesional, penyelidik, pelajar dan pihak berkepentingan dari seluruh dunia untuk mendaftar menyertai persidangan berkenaan.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Sharidah Yusof berkata pihaknya menjanjikan AFC2023 sebagai platform perkongsian pengetahuan dan kerjasama dalam meneroka industri makanan.
“Kami menjemput profesional, penyelidik, pelajar dan pihak berkepentingan dari seluruh dunia untuk menyertai kami dalam meneroka masa depan makanan di ASEAN dan menemui penyelesaian inovatif untuk memastikan ketersediaan makanan yang selamat dan sihat untuk semua,” ujarnya.
Bertemakan ‘Masa Depan Makanan di ASEAN: Apa Langkah Seterusnya?’, bengkel pra persidangan iaitu Bengkel Saintis Kerjaya Awal pada 24 Oktober depan.
Acara itu bakal dihadiri jurulatih terkemuka daripada Kesatuan Sains dan Teknologi Makanan Antarabangsa (IUFoST), yang menyasarkan saintis muda untuk membangunkan kepimpinan dalam industri makanan dan mencari niche mereka dalam penyelidikan sains makanan.
Turut diketengahkan adalah isu halal berkaitan perusahaan daging yang akan membincangkan trend industri dalam menyediakannya kepada semua pengguna, khususnya, masyarakat Islam, yang menampilkan penyelidik terkenal dan pengawal selia halal dari rantau ini.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari afc2023my.com.