Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berucap pada Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka di sini hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

Liku perjuangan 60 tahun beri inspirasi kepada anak Sarawak capai kejayaan – Abdul Karim

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 22 Julai: Sejarah dan liku perjalanan Sarawak selama 60 tahun telah memberi inspirasi kepada rakyatnya untuk berusaha dengan lebih tekun bagi mencapai kejayaan, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Berucap sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka di sini, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, bagi mencapai hasrat itu, sifat ikhlas, tekun dan sedia berkorban diperlukan.

Ujar Abdul Karim, Sarawak telah melalui pelbagai fasa dalam pembangunannya sejak 1963 dan matlamat akhir ialah mahu memperkasakan kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang hadir pada Sambutan Perayaan Sarawak Merdeka 60 Tahun hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

“Acara sambutan ini penting kerana dapat memperkukuhkan kesedaran rakyat terutamanya golongan muda agar sentiasa memperingati pengorbanan generasi terdahulu untuk mengecapi impian menjadi anak watan yang merdeka,” katanya di sini. 

Sambutan turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Pasukan Tentera Darat Malaysia turut menyertai perbarisan di Padang Merdeka, di sini hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

Tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut hadir.

Sebanyak 75 kontinjen yang terdiri daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi awam, persatuan dan badan bukan kerajaan dari pelbagai etnik di Sarawak menyertai perarakan.

Sebahagian daripada anak muda yang memakai kostum menarik menyertai perarakan sempena Hari Sarawak di Padang Merdeka, hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

Sehubungan itu Abdul Karim mahu formula kesepakatan sedia ada dikekalkan bagi membolehkan pemimpin dan rakyat dapat mengemudi Sarawak ke tahap yang lebih baik.

Sementara itu Abdul Karim berkata, pemilihan tema ‘Sarawak Maju Makmur’ bagi sambutan tahun ini sangat signifikan ia melambangkan iltizam kepimpinan sekarang dalam usaha mencapai visi Sarawak maju 2030.

“(Visi ini seterusnya) akan memberi limpahan kesejahteraan kepada seluruh penduduk Sarawak,” katanya.

Abdul Karim turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang memeriahkan sambutan hari ini.

“Kehadiran kita telah membuktikan bahawa selama 60 tahun, warga Sarawak duduk bersama di bawah satu bumbung dan hidup saling bermuafakat, tidak berpecah belah dan mengecapi kemakmuran bersama.

“Bak kata peribahasa ’Serumpun bak serai, sesusun bak sirih,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan