MIRI, 22 Julai: Mayat lelaki warga emas, Jangin Luwau, 67, yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Tutoh Hulu, Baram, ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 5.03 petang semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Ismaidi Ismail berkata, operasi pencarian hari keempat telah dibahagikan kepada dua pasukan.
“SAR pertama membuat pencarian di bahagian hilir kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian manakala pasukan kedua melakukan pencarian di bawah longgokan kayu dan ranting secara menghilir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, operasi pencarian hanya dapat diteruskan selepas keadaan sungai selamat pada jam 2 petang.
“Mangsa ditemui terapung oleh pasukan SAR 1 tiga jam kemudian kira-kira lapan kilometer dari lokasi bot karam.
“Semasa dijumpai, keadaan mangsa masih sempurna dan hanya bajunya sahaja tertanggal,” katanya.
Ismaidi berkata, mayat telah dibawa ke Long Kawa dari kawasan Sungai Puak menggunakan pacuan empat roda (4WD) yang mengambil masa dua jam.
Mayat telah diserahkan kepada pihak polis di Kampung Long Kawa pada 7.45 petang untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR ditamatkan pada jam 8.15 malam.
Dalam kejadian petang Isnin lalu, mangsa yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya bersama lima lagi penumpang karam dan terbalik di sungai berkenaan pada 5.30 petang Isnin lalu. -TVS