SERIAN, 22 Julai: Sebut sahaja perjuangan Bujang Berani, jarang sekali kita membayangkan kewujudan wira negara berbangsa Bidayuh.
Berkhidmat selama lebih 50 tahun sejak 1954, kelibat mendiang Chief Inspektor Tuan Paul Dimbut sememangnya telah banyak menabur bakti memperjuangkan kemerdekaan bumi Sarawak terutama ketika menentang komunis.
Namanya mungkin tidak terkenal tapi jasanya dan pejuang yang lain itulah yang memungkinkan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini.
Penulis membawa anda untuk menghayati dengan lebih mendalam bagi mengenang perjuangan wira negara, polis Bidayuh pertama Sarawak.
Hidupnya menabur bakti, matinya meninggalkan jasa dan kisah gemilangnya serta rasa bertuahnya menikmati kemerdekaan hasil perjuangan disimpan rapi wira negara itu yang meninggal dunia 17 Jun 2023.
Berkongsi cerita anak mendiang Mohd Faisal Abdullah berkata, mendiang bapanya pernah terlibat dengan beberapa operasi, selain pernah berjaya mengorbankan tiga orang komunis.
“Mendiang bapa saya pernah memaklumkan kepada kami bahawa dialah satu-satunya Bidayuh dalam polis pada ketika itu,” kata Mohd Faisal Abdullah ketika ditemui TVS di sini, baru-baru ini.
Memulakan khidmat pertamanya di Bukit Siol Kuching pada tahun 1954, mendiang juga pernah menabur bakti di Kem Semuja Serian, Kem Temudok Sri Aman, Kem Lanang di Sibu, Kem Polis Batu Kawa dan menamatkan perkhidmatannya di Briged Sarawak pada tahun 1990.
Antara operasi yang dilaksanakan adalah ketika pemulihan kuantiti senjata serta dokumen di Bangkong, Pantu Sarawak, terlibat dalam operasi di tanah Semenanjung menentang komunis, menjalankan operasi jala di seluruh Sarawak membanteras komunis, terlibat dalam pemberontakan Brunei 8 Disember hingga 17 Disember 1962 dan Konfrantasi Malaysia Indonesia pada tahun 1963.
Semua itu menjadi saksi betapa tebalnya rasa kasih dan sayangnya Paul Dimbut pada tanah air ini.
“Bapa saya jarang bercerita berkenaan beliau pernah mengorbankan komunis, mungkin mendiang tidak mahu mengingati peristiwa tersebut dan dia hanya becerita dengan abang-abang saya sahaja,” ujar Mohd Faisal lagi.
Dalam pada itu tambah anak bongsu daripada 10 orang adik-beradik itu, mendiang bapanya telah menerima banyak pingat dalam operasi, termasuk yang terakhir sekali menerima pingat pentadbiran awam sebelum mendiang bersara.
Ujar Mohd Faisal lagi, darah perwira itu tidak terhenti untuk mendiang sahaja, kerana turut diwarisi anak cucunya.
“Abang-abang saya ada yang berkhidmat dalam polis, tentera namun semua sudah bersara, cucu-cucu mendiang pun ada yang menyertai polis,” tambah Mohd Faisal lagi.
Dalam pada itu Mohd Faisal berkata, mendiang merupakan seorang bapa yang tegas dan berprinsip kerana dalam garang ada lembutnya sebagai tujuan mendidik anak-anaknya menjadi insan berguna yang mampu menjaga keluarga .
“Mendiang selalu berpesan untuk kami menjaga amal ibadat, ringan tulang untuk membantu orang yang memerlukan dan jangan bergaduh dengan adik-beradik…apa-apa masalah di suruh mengutamakan adik-beradik,” ujar Mohd Faisal lagi. -TVS