KUCHING, 21 Julai: Semangat para pemimpin Sarawak zaman ini tidak pernah luntur dalam membangunkan Sarawak dan mencapai status negeri maju selama 60 tahun merdeka.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sejak mencapai kemerdekaan daripada British, kemerdekaan diisi dengan program-program berteraskan rakyat.
Menurutnya, untuk memperhebatkan usaha pembangunan, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menentukan hala tuju yang jelas ke arah mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Saya ingin mengajak semua rakyat Sarawak untuk mengenang sejenak kembali pengorbanan para pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan kemerdekaan Sarawak 60 tahun yang lampau.
“Perjuangan mereka semata-mata untuk mempastikan Sarawak bebas daripada kuasa penjajahan dan digantikan dengan kebebasan Sarawak untuk memerintah diri dan kuasa untuk menentukan masa hadapannya sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan buku cenderamata sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang berlangsung di Padang Merdeka di sini, esok (22 Julai).
Beliau berkata PCDS 2030 yang dalam proses pelaksanaan berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian sumber telah membawa Sarawak untuk terus meneroka potensi-potensi kekayaan baharu khususnya ekonomi hidrogen, pembangunan sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui termasuk hidro, bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada alga dan tenaga solar, perniagaan karbon dan perangkap, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Terbukti Sarawak agak ke hadapan berbanding negeri-negeri lain di negara ini dan juga di rantau Asia Tenggara dalam usaha untuk membangunankan pontensi-potensi baharu ini ke arah menangani perubahan iklim dunia sejajar dengan Perjanjian Paris 2015,” katanya.
Beliau menyeru dengan semangat ‘Segulai Sejalai’ perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negeri terus diperkukuhkan kerana pembangunan ekonomi yang mampan hanya boleh dicapai dalam suasana aman dan politik yang stabil.
Dalam pada itu, acara utama, Perarakan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka akan berlangsung di Padang Merdeka pada pagi esok, manakala Konsert Rakyat akan diadakan pada malam esok.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan tema ‘Sarawak Maju Makmur’ sangat signifikan kerana ia melambangkan iltizam kepimpinan yang ada sekarang dalam usaha mencapai visi Sarawak maju 2030 yang akan memberi limpahan kesejahteraan kepada seluruh penduduknya.
“Pelbagai aktiviti utama telah dianjurkan sebagai pengisian Sambutan Jubli Intan pada kali ini, dimulakan dengan Pelancaran Konvoi Kembara Merdeka di Lawas pada 28 Mei 2023 lalu dan diakhiri dengan acara Street Parade melibatkan 3 bandar utama iaitu di Kuching, Sibu dan Miri pada bulan Ogos nanti,” katanya menerusi buku cenderamata yang sama.
Sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka, TVS akan membuat liputan secara langsung program-program yang menarik untuk anda.
📺 Majlis Kesyukuran Perdana
🗓️ 21 Julai 2023 | Jumaat | 7:15 malam
📺 Perhimpunan & Perarakan
🗓️ 22 Julai 2023 | Sabtu | 7:30 pagi
📺 Majlis Penganugerahan Pingat Peringatan Jubli Intan Bersempena Dengan 60 Tahun Sarawak Merdeka
🗓️ 22 Julai 2023 | Sabtu | 12:30 tengah hari
📺 Konsert Rakyat
🗓️ 22 Julai 2023 | Sabtu | 8:30 malam
📺 Perarakan Kapal Berhias
🗓️ 29 Julai 2023 | Sabtu | 8:30 malam
Layari https://staging.tvsarawak.my & tonton TVS di saluran 122 Astro & MYTV. – TVS