KUCHING, 21 Julai: Sarawak memiliki kuasa sendiri untuk urusan meluluskan pengeluaran semua permit atau lesen vesel di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara itu berikutan persetujuan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menambah pemberian kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
Menurut beliau ia merangkumi meluluskan pengeluaran Semua Permit dan Lesen Vesel Penangkapan Ikan dan Peralatan bagi Zon A, B dan C.
Sebelum ini, Uggah memberitahu Kerajaan Persekutuan telah membenarkan Sarawak untuk mengeluarkan lesen bagi laut dalam tetapi hanya terhad di Zon C2.
“Selain itu, kita (Kerajaan Sarawak) juga meminta Kerajaan Persekutuan memberikan kuasa untuk menentukan persempadanan antara perairan laut dan perairan darat negeri Sarawak sendiri.
“Sekarang ini agak mengelirukan (persempadanan), jadi kami ingin mempunyai kuasa yang sangat jelas supaya mudah bagi agensi penguatkuasaan menjalankan kerja mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain (UNIFOR) 2023, di sini, hari ini.
Jelas Uggah, selain persempadanan antara perairan laut dan perairan darat akan lebih jelas ia sekali gus mengelak pertindihan kawasan dan kuasa antara agensi negeri
Beliau memberitahu agensi negeri terlibat seperti Jabatan Pertanian Sarawak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei.
“Bagi agensi persekutuan pula termasuk Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, Polis Marin Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang merangkap timbalan menteri bertanggungjawab bagi Majlis UNIFOR 2023 dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin. – TVS