SERIAN, 20 Julai: Sebanyak 12 projek bekalan air bersih bernilai RM219.7 juta siap dilaksanakan di Bahagian Serian, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.
Menurutnya, dua projek masih dalam proses pelaksanaan dengan nilai RM18.9 juta.
“Pada keseluruhannya pelaksanaan projek air di Bahagian Serian menepati jadual,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Slabi, di sini, hari ini.
Loji Rawatan Air Slabi merupakan loji utama membekal air terawat di Bahagian Serian yang dikendalikan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Loji ini mempunyai kapasiti 110 juta liter sehari (MLD) tetapi setakat ini beroperasi untuk menghasil air terawat 70 MLD selain membekal juga air ke kawasan Gedong,Simunjan dan Bahagian Samarahan.
Jelasnya, penduduk di Bahagian Serian juga mendapat bekalan air terawat daripada loji rawatan air di Balai Ringin berkapasiti 2.2 MLD dan loji rawatan air di Tapah (5 MLD).
Sehingga kini terdapat lebih 35,000 pemegang akaun air domestik di Bahagian Serian. Pada keseluruhannya kadar permintaan air kini yang dikendalikan oleh JBALB Bahagian Serian ialah 77.5 MLD.
Menurutnya, pada sesi taklimat sempena lawatan kerja itu, beliau menasihatkan JBALB supaya mengurus, meneliti dan menyelesai masalah kadar air tidak terhasil (NRW) dengan segera, khususnya yang berpunca dari masalah penyambungan haram.
“Meter pintar sebanyak 35,000 untuk pengguna telah dipasang di Bahagian Serian sehingga kini sebagai salah satu usaha menyelesai masalah NRW.
“Masalah NRW disebab tinggalan kerja Lebuh Raya Pan Borneo perlu diselesaikan segera juga dengan pihak Unit Pan Borneo JKR Sarawak,” katanya. – TVS