MIRI, 20 Julai: Dua daripada enam nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Miri ditemui selamat petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua mangsa ditemui pada kedudukan 8.6 batu nautika dari Kuala Bakam pada pukul 3.30 petang.
Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan terapung sambil berpaut pada bot yang hampir tenggelam akibat dipukul ombak kuat.
“Kedua-dua mangsa dibawa oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke Jeti Marina Bay dalam keadaan baik. Mereka tidak mengalami kecederaan serius,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Kata beliau, polis yang menerima dua laporan berhubung kejadian segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam.
“Operasi diketuai oleh APMM Zon Miri serta dibantu oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat( (JBP) untuk pencarian di kawasan laut. Pasukan Polis Marin dan nelayan tempatan pula melakukan pencarian di pinggir pantai,” katanya.
Jelas Alexson Naga, SAR di daratan diketuai oleh polis dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang melibatkan kawasan pencarian di Pantai Bakam hingga ke Pantai Marina.
“Setakat ini, empat nelayan masih hilang,” katanya. -TVS