Kuching, 19 Julai: Muzik pada era 60-an hingga terkini bakal berkumandang di Padang Merdeka pada Sabtu ini sempena perarakan Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka.
Kemeriahan dapat disaksikan pada 22 Julai nanti dengan perarakan sebanyak 75 kontinjen termasuk kontinjen Gabungan Media Sarawak yang bakal melakukan persembahan di hadapan pentas utama dengan lagu ‘Kill This Love’ oleh ‘Blackpink’ yang dikeluarkan pada tahun 2019.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara, Norhayati Bidin, pemilihan lagu adalah berdasarkan tema ‘Sarawak Maju Makmur’ yang merangkumi pelbagai muzik tempatan dan antarabangsa.
“Melalui perhimpunan dan perarakan ini, kita mahu tunjukkan transformasi 60 tahun Sarawak melalui muzik dan juga busana yang akan menarik perhatian semua lapisan umur.
“Kita mahu meraikan zaman kegemilangan semua generasi dan muzik merupakan platform yang terbaik kerana ia menyatukan seluruh masyarakat,” katanya ketika ditemui TVS pada acara raptai perarakan di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Tambah beliau, lagu-lagu yang dipilih untuk dibahagikan kepada mengikut peringkat usia dan era muzik tersebut.
“Sebagai contoh, lagu zaman 60-an kita berikan kepada Jabatan Premier Sarawak dan untuk lagu yang lebih moden, kita berikan kepada kontinjen gabungan artis,” ujarnya.
Difahamkan sejumlah 60 daripada 75 kontinjen yang menyertai perarakan bakal berentap untuk merangkul kemenangan iaitu johan, tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, RM7,000 dan RM5,000.
Antara kontinjen yang bertanding adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Pelabuhan Bintulu, Jabatan Pendidikan Sarawak, PETRONAS, Sarawak Energy Berhad (SEB), Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) serta jabatan kerajaan dan swasta yang lain. – TVS