SARIKEI, 19 Julai: Sambutan Maal Hijrah kali ini lebih bermakna bagi penduduk Kampung Dibah Sarikei setelah siapnya surau baharu untuk mereka menjalankan ibadah dan aktiviti keagamaan di sini.
Pembinaan surau yang berwajah moden di tebingan Sungai Rajang itu telah dilaksanakan dengan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Kuala Rajang berjumlah RM500,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek berkenaan mula dilaksanakan pada 8 Disember 2022 dan siap sepenuhnya 7 jun lepas.
Menurutnya surau yang terletak di Jalan Drahman Kria itu bukan sekadar rumah ibadat sebaliknya menjadi lokasi penting untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Malah ujarnya, kewujudan surau baharu merupakan salah satu lagi usaha kerajaan dalam menambahkan kemudahan untuk faedah rakyat khususnya masyarakat Islam di Sarikei.
Sementara itu, Ketua Kaum Sehon Ujang mengakui surau baharu itu Amat bermanfaat kepada masyarakat Islam di Jalan Drahman Kria, Jalan Abdul Rahman, Jalan Apong dan Jalan Pengiran Kadir.
Beliau menambah dengan adanya kemudahan itu, kariah setempat bukan sahaja dapat beribadah dengan lebih selesa tetapi juga boleh menganjurkan aktiviti keagamaan dengan lebih sempurna.
“Saya mewakili penduduk mengucapkan terima kasih kepada kepada Kerajaan Sarawak kerana meluluskan peruntukan untuk pembinaan surau yang baru ini. Yang pasti usaha ini sangat menggembirakan kami,” ujarnya. – TVS