KUCHING, 18 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1445H/2023M di Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini, malam ini.
Kehadiran Abang Johari disambut dengan paluan kompang daripada kumpulan hadrah dan diiringi dengan alunan qasidah serta selawat terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW oleh pelajar-pelajar madrasah sekitar bandaraya ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun dan awal tahun sebagai tanda kesyukuran dan penghayatan terhadap peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah.
Hadirin kemudian menunaikan solat Maghrib berjemaah dan diteruskan dengan bacaan surah Yasin yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Iszam Padil turut menyampaikan tazkirah Maal Hijrah bertajuk Sarawak Maju Makmur.
Majlis diteruskan dengan solat Isyak dan jamuan makan malam sebelum bersurai. -TVS