KUCHING, 18 Julai: Duta Besar Brazil ke Malaysia, Ary Norton De Murat Quitella melihat banyak perkara yang boleh pelajari oleh negaranya daripada Sarawak.
Katanya, ini termasuk penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dan bahan api bio yang sedang diteroka oleh Sarawak.
“Saya juga berharap pengalaman Brazil dalam bidang berkenaan akan dapat memberi manfaat kepada Sarawak menerusi pertukaran bersama (teknologi dan kepakaran),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di sini hari ini.
Sementara itu, Quitella berkata, beliau berminat dengan kajian bahan api penerbangan mampan (SAF) yang sedang dijalankan oleh Kerajaan Sarawak.
Kata beliau, SAF berasaskan alga itu menjadi satu tarikan besar kepada Brazil.
“Brazil (sebenarnya) juga telah memulakan kajian mengenai SAF dan berharap dapat menggunakannya dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Quitella meluahkan keyakinan yang kerjasama dua hala membabitkan Sarawak dengan Brazil akan dapat diperkukuh kerana memiliki persamaan dalam pelbagai aspek.
“(Selain itu Brazil dan Sarawak memiliki) masyarakat berbilang kaum, pelbagaian budaya dan program-program sosial,” ujarnya.
Semalam, Quitella mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.-TVS