BINTANGOR, 18 Julai: Setiap pelajar perlu memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai persediaan penting mereka sebelum melangkah ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, ia juga sejajar perkembangan pesat teknologi digital selain peranan penting bahasa itu sebagai medium komunikasi di peringkat antarabangsa.
Katanya, penekanan terhadap penggunaan bahasa rasmi kedua di Sarawak itu selari dengan perkembangan zaman selain bertepatan dengan hasrat untuk meletakkan mereka dalam bidang pekerjaan yang bersesuaian.
“Saya ingin menasihatkan pelajar supaya memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris supaya mereka dapat bersaing apabila tamat pengajian kelak,” katanya pada Hari Kerjaya dan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Meradong di sini, hari ini.
Beliau berkata, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) diwujudkan bertujuan membuka peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik untuk meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran.
Pada masa sama katanya, kerajaan juga menyediakan pelbagai bentuk latihan dan memperkukuhkan TVET sekali gus menyediakan ruang kepada generasi melengkapkan diri dengan kemahiran selaras dengan tuntutan Revolusi Industri (IR4.0).
“Dalam pada itu, saya juga ingin menyeru kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 untuk memulakan usaha bagi menyediakan diri untuk SPM yang akan datang.
“Persiapan yang rapi akan membolehkan para pelajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang dan seterusnya membina masa depan yang lebih terjamin,” ujarnya.- TVS