MARUDI, 18 Julai: Seorang wanita warga emas masih hilang manakala lima lagi selamat selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Sungai Long Kawa Hulu Tutuh di sini, malam tadi.
Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.30 malam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Ismaidi Ismail berkata, insiden itu berlaku apabila bot yang dibaiki enam penumpang dipercayai karam semasa dalam perjalanan balik ke Long Bedian ke Kampung Ba Selulong sekitar jam 5.30 petang semalam.
“Pihak kami dari BBP Marudi telah menerima makluman awal daripada seorang pengadu yang merupakan seorang guru dari Kampung Ba Selulong melalui aplikasi Whatsapp melaporkan kejadian itu berlaku sekitar jam 5.30 petang.
“Lima daripada penumpang telah berjaya menyelamatkan diri manakala seorang wanita warga emas masih hilang dan dikhuatiri lemas,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pihaknya juga dimaklumkan bahawa pencarian awal telah dilakukan oleh penduduk kampung namun mangsa masih belum dijumpai.
Ujarnya, maklumat semua mangsa yang terselamat dan hilang masih belum diperolehi setakat ini.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan malam tadi. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) akan bergerak ke lokasi pada pagi ini memandangkan perjalanan ke lokasi melalui jalan balak dan jarak perjalanan memakan masa lebih kurang enam jam,” katanya.
Ismaidi berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat butiran lanjut mengenai mangsa yang terlibat.
Berita lanjut menyusul. – TVS