SIBU, 17 Julai: Pasangan suami isteri warga emas hilang tempat berteduh selepas rumah mereka di Kampung Jeriah Utara, di sini terbakar petang tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB ) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.30 petang.
Katanya, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer (km) dari balai.
“Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berstruktur tidak kekal milik persendirian yang telah musnah sebanyak 80 peratus.
“Pasukan menggunakan pili Bomba dan membentangkan dua aliran 200 kaki, satu cabang pembahagi, tiga nozel dan menggunakan sumber air dari parit berhampiran untuk memadamkan kebakaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kehilangan nyawa dan operasi tamat pada pukul 5.21 petang. -TVS