MIRI, 17 Julai: Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) bakal mewujudkan doktrin operasi Sarawak Coastguard yang baharu dalam mencapai objektif penubuhannya.
Pengarah UKPS, Datu Dr Chai Khin Chung berkata cadangan pewujudan doktrin baharu itu akan dibawa ke taklimat bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 Julai di Markas UKPS Miri.
“Dengan aset dan keanggotaan, ia masih tidak mencukupi. Doktrin Operasi kita akan berubah. Kita akan wujudkan doktrin operasi UKPS Sarawak Coastguard yang baharu.
“Doktrin ini boleh mencapai objektif dan kita juga perlu mengisi jurang dalam pengoperasian penjagaan kawasan maritim Sarawak,” katanya berucap pada Majlis Serah/ Terima Kapal Peronda Laju Kelas Pulau Sarawak Coastguard di Markas UKPS Miri, hari ini.
Jelasnya lagi kesemua perkara telah diambil kira dan sedang dirancang sebelum ditaklimatkan kepada Premier Sarawak.
Doktrin pengoperasian itu penting bagi mengetatkan kawalan perairan supaya kapal-kapal yang tidak mendapat izin masuk ke kawasan Sarawak boleh disiasat dengan lebih lanjut.
Sarawak Coastguard katanya memainkan peranan yang cukup signifikan untuk mengkoordinasi kemasukan kapal-kapal yang tidak dibenarkan supaya dapat dikesan dan diuruskan dengan baik.
UKPS kini memiliki enam unit Kapal Peronda Laju Kelas Pulau Sarawak Coastguard setelah penyerahan tiga unit lagi selesai dilaksanakan hari ini, di sini.
Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana memaklumkan terdapat tiga lagi kapal peronda lebih besar dibina untuk UKPS sedang dalam peringkat pra kontrak untuk kerja-kerja pembangunan reka bentuk. – TVS