MIRI, 17 Julai: Tiga lagi kapal peronda laju kelas pulau Sarawak Coastguard diserahkan kepada Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), di sini, hari ini.
Majlis serah dan terima berlangsung antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan UKPS dengan disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik.
Buckland dalam ucapan amanatnya menyifatkan penyerahan pada kali ini menterjemah bukti kepada janji serta visi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperkukuh ekonomi negeri.
“Sarawak sekarang terutamanya Miri dan Bintulu, terdapat pelbagai aktiviti industri minyak dan gas di kawasan luar pesisir yang mana kita perlu memastikan industri ini berjalan dengan suasana yang selamat.
“Kita perlu memastikan kawasan luar pesisir Sarawak selamat untuk aktiviti pelaburan, minyak dan gas yang sekali gus menjana pendapatan negeri,” katanya pada Majlis Serah/ Terima Kapal Peronda Laju Kelas Pulau Sarawak Coastguard di Markas UKPS Miri, hari ini.
Oleh yang demikian beliau turut menekankan peranan Sarawak Coastguard yang relevan dan kritikal untuk bekerjasama dengan agensi-agensi lain dalam mencapai objektif penubuhannya.
Sebelum ini, penyerahan tiga unit kapal peronda laju telah dilaksanakan pada 18 November 2022 di Lembaga Pelabuhan Kuching.
Penyerahan tiga lagi kapal menjadikan UKPS kini memiliki enam unit kapal peronda laju bersaiz 25 meter yang dibina oleh Sarawak Sailways Sdn Bhd dengan kos kontrak bernilai RM73.243 juta.
Abang Johari dijadual akan menyempurnakan pelancarannya serentak dengan perasmian Markas UKPS Miri pada 18 Julai (Selasa). – TVS