KUCHING, 17 Julai: Duta Besar Brazil ke Malaysia, TYT Ary Nortan De Murat Quitella menyatakan minatnya terhadap Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) berasaskan alga yang dihasilkan Sarawak.
Beliau bertuah kerana dapat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga merupakan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang mana mereka dapat membincangkan lebih lanjut hal-hal yang berkaitan dengan tenaga dan sebagainya.
“Saya amat berminat dengan SAF dan yang saya tahu ia merupakan topik yang sangat diminati oleh Premier Sarawak.
“Ia adalah satu permulaan yang akan menarik minat Brazil juga dan saya tahu Sarawak sekarang ini sedang menjalankan kajian mengenai penggunaan alga untuk SAF. Ia sudah tentu sesuatu yang Brazil akan minat mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, bercakap mengenai perdagangan, Brazil yang juga merupakan pengeksport terbesar protein haiwan halal di dunia menjadi sumber protein haiwan halal yang penting kepada Malaysia.
Pihaknya berminat untuk memasarkannya di Sabah dan Sarawak dan perkara itu juga telah dibincangkan semasa perjumpaan tadi. – TVS