KUALA LUMPUR, 17 Julai: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya merangkul gelaran pertama mereka tahun ini selepas muncul juara terbuka Amerika Syarikat (AS) 2023, pada Ahad.
Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu, hanya memerlukan 30 minit untuk mengetepikan cabaran pasangan pilihan ketujuh kejohanan dari Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen, 21-9 dan 21-10 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Mid-America, Council Bluffs, Iowa.
Terbuka AS ini merupakan kejohanan pertama buat pasangan ke-53 dunia itu, selepas mereka berpisah pada Februari tahun ini, dan kembali bersama bulan lepas.
Kemenangan ini sekali gus menyaksikan mereka memecah kebuntuan tanpa gelaran selama lebih setahun selepas kali terakhir ia dilakukan pada Terbuka Jerman 2022, apabila menewaskan pasangan dari China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, 23-21, 16-21, 21-14.
Sze Fei-Nur Izzuddin meraih US$16,590 (RM77,562), susulan kemenangan dilakar mereka manakala naib juara Fang-Chih-Fang-Jen, memperoleh US$7,980 (RM37,308). -TVS