KUCHING, 16 Julai: Di sebalik kemenangan ketiga yang dilakar pada pentas ONE Championship di Thailand, atlet Muay Thai Sarawak, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mendedahkan, dia sebenarnya masih belum berpuas hati.
Atlet yang lebih dikenali sebagai Jojo itu berkata, ini kerana dia tidak dapat menumbangkan lawannya, Samurai Seeopal menerusi pukulan ‘knockout’ (K.O).
“Sejujurnya saya tidak puas hati namun prestasi keseluruhan cukup bagus kerana menang.
“Saya mahu kekalkan rekod tanpa kalah,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Pada Jumaat, atlet berusia 16 tahun itu berjaya menewaskan Seeopal dalam pertarungan tiga pusingan di Bangkok.
Sebelum ini, pada Februari lepas, Jojo mencipta sensasi menerusi penampilan sulungnya dalam ONE Championship apabila menumbangkan peserta tuan rumah, Padetsuk Fairex dengan pukulan KO di Stadium Tinju Lumpinee.
Sementara itu, Jojo memberitahu, dia perlu mengekalkan rekod tanpa kalah bagi meraih kontrak bernilai 100 000 USD dalam perlawanan seterusnya dan akan terus memperbaiki kemahiran, strategi dan stamina untuk perlawanan yang seterusnya.
“Terima kasih juga kepada ibu bapa, pengurus dan jurulatih saya,” katanya. -TVS