KOTA SAMARAHAN, 16 Julai: Atlet Muay Thai Sarawak, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo dilihat berpotensi besar untuk bergelar juara dunia suatu hari nanti.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana Jojo yang baharu berusia 16 tahun memiliki bakat luar biasa selain telah mencatatkan pelbagai kejayaan.
Tambah Abdul Karim, beliau mula mengikuti perkembangan Jojo sejak Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lepas yang menyaksikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Thomas itu berjaya meraih pingat emas untuk Sarawak.
“Sekiranya Jojo terus mempamerkan prestasi konsisten, dia berpotensi untuk menjadi juara dunia.
“Pada usia yang masih muda, dia mampu mengalahkan pesaing yang lebih ternama,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada atlet itu.
Pukulan K.O Johan Ghazali tumbang lawan dalam ONE Championship di Thailand
Abdul Karim berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan Jojo meraih kemenangan ketiga dalam Kejohanan ONE Championship di Thailand, pada Jumaat lepas.
Jojo menewaskan peserta tuan rumah, Samurai Seeopal dalam pertarungan tiga pusingan.
Atlet Muay Thai Sarawak muncul juara remaja dunia
Sementara itu, Abdul Karim berkata, beliau juga melihat sokongan padu yang diberikan oleh ibu bapa atlet itu iaitu Zulfikar dan Jennana Johnson kepada anak mereka turut menyumbang kepada kejayaan Jojo.
“Di pihak Kerajaan Sarawak, kita juga sentiasa memberi sokongan termasuk aspek kewangan untuk memastikan Jojo terus cemerlang dalam sukan berkenaan,” katanya. -TVS