Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Innocement Sdn Bhd dengan YTL Cement Berhad dan SCG International di sini hari ini. Foto: TVS

GPS tiada halangan PDP kerjasama dengan PSB – Abang Johari

ByFarah Diyana Samsuddin

KUCHING, 14 julai: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menghalang Parti Demokratik Progresif (PDP) menjalin kerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg namun begitu menegaskan memorandum persefahaman (MoU) antara dua parti itu tidak berkaitan sama ada PSB menyertai GPS atau sebaliknya.

“Memang sebelum ini PSB ada menyatakan pendirian mereka untuk menyokong GPS seterusnya (demi) memajukan negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Innocement Sdn Bhd dan SCG International dan Simen YTL Terhad di Dewan Asajaya, Hotel Grand Margherita, di sini hari ini.

Premier Sarawak itu juga mengakui Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh juga pernah menyatakan pendirian untuk menyokong GPS sebelum ini.

“Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dahulu, Soon Koh ada berjumpa dengan saya…bagi saya tiada halangan,” ujarnya.

Mengulas berhubung MoU antara PDP dan PSB itu lagi, Abang Johari menyifatkan ia berlaku berikutan ada dalam kalangan ahli parti berkenaan juga ingin kembali ke parti asal mereka.

Beliau menambah kerjasama itu juga melibatkan antara PDP dan PSB sahaja dan tidak melibatkan komponen parti lain di dalam GPS.

“Ia tiada melibatkan GPS. Kita simpulkan ia begini, Mereka (PSB) ingin berkerjasama dengan GPS jadi mereka berkerjasama, mungkin dengan PDP terlebih dahulu. Namun begitu akan bincang dengan rakan-rakan lain dan kita akan nilai daripada situ.

“Pada masa ini (kerjasama) mereka adalah tidak berkaitan dengan GPS…sekiranya ingin bekerjasama dengan GPS kita akan lihat nanti (selepas mesyuarat GPS),” jelasnya.

Beliau menyifatkan ketersediaan PSB untuk berkerjasama dengan salah satu komponen GPS merupakan suatu langkah baik serta harus diterima dengan hati terbuka.

Menurut beliau situasi sedemikian menggambarkan pihak berkenaan (PSB) sedar serta memperakui bahawa GPS telah melaksanakan dan menepati janji untuk membangunkan Sarawak.

Terdahulu di Kuala Lumpur pada Selasa, PDP dan PSB memeterai MoU menyaksikan Soon Koh berikrar bahawa pilihan mereka untuk menyokong kepemimpinan semasa Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara.

Sementara, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kedua-dua parti telah mencapai kata sepakat untuk menyokong satu sama lain dan kedua-duanya berusaha untuk melihat kemakmuran dan kestabilan politik di dalam negara.

Susulan keputusan yang dibuat PSB, kini tinggal hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) dan Violet Yong (DAP-Pending) daripada keseluruhan 82 ADUN.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan