MIRI, 14 Julai: Transformasi digital akan memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial dan memelihara alam sekitar di Sarawak, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Menurutnya, transformasi digital dapat memanfaatkan pelbagai sumber, sekali gus meningkatkan daya saing global dan meningkatkan kehidupan rakyat untuk masa depan yang lebih baik.
“Dalam konteks Sarawak, transformasi digital mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan pembangunan sosial.
“Kerajaan Sarawak berdedikasi untuk memupuk ekosistem digital bertenaga yang menggalakkan keusahawanan, memperkasakan komuniti dan merapatkan jurang bandar-luar bandar,” katanya berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Aplikasi Digital, Transformasi Dan Ekonomi (ICDATE) 2023 di Universiti Curtin di sini, hari ini.
Dari kecerdasan buatan (AI), analitik data besar, rantain blok dan Internet Kebendaaan (IoT), teknologi digital ini merevolusikan gaya hidup masyarakat dan menjadi pemacu penting kemajuan dan inovasi merentas semua sektor untuk menangani cabaran yang kompleks.