Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan semasa hadir pada Program Cakna MADANI Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. Foto: Bernama.

Pencen: Implikasi kewangan RM1.3 bilion dalam Belanjawan 2023

ByBernama

PUTRAJAYA, 14 Julai: Implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion untuk bayaran pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember 2023 menggunakan amaun pencen asal, telah  dimasukkan dalam peruntukan kewangan Belanjawan 2023 dan bukannya amaun tambahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jumlahnya RM1.3 bilion tetapi memang masuk dalam belanjawan tahun ini,” katanya yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita selepas Program Cakna MADANI Bersama Agensi Penguatkuasaan 2023 di sini pada Khamis.

Anwar berkata amaun pencen asal dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan elaun MADANI dengan memberi pertimbangan atas khidmat pesara sebagai penjawat awam dahulu.

Pada Rabu, Anwar mengumumkan kerajaan memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Ia selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Anwar berkata ini menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Disember 2012 manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenal skim pencen baharu dan melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.

Pada 6 Julai lepas, Anwar dilaporkan berkata kerajaan akan mengumumkan mekanisme khas berkaitan pencen penjawat awam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa undang-undang sedia ada bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak menuntut semula bayaran kenaikan pencen sebanyak dua peratus yang dilaksanakan sejak 10 tahun lepas memandangkan ia telah dinikmati oleh pesara dan jumlah yang diberikan tidak terlalu besar kerana kebanyakan penerima adalah dalam kalangan B40 dan M40.

Sementara itu, Anwar berkata beliau akan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk esok secara maya berhubung komitmen pelaburan tambahan yang disuarakan usahawan ternama itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan