KUALA LUMPUR, 14 Julai: Bahang kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semakin menarik apabila timbul desas desus seorang pemain bola sepak akan menjadi calon sebuah parti politik.
Pemain berusia 35 tahun itu yang beraksi dengan pasukan Liga Super yang berpengkalan di Borneo itu dikaitkan akan bertanding di sebuah negeri di utara tanah air.
Spekulasi itu turut diperkuatkan petang ini apabila kelabnya mengutuskan ucapan selamat maju jaya dan mengesahkan pemain itu tidak akan bersama mereka pada baki Liga Super 2023.
Pemain yang dilahirkan di Sarawak itu sebelum ini telah memenangi kesemua piala yang dipertandingkan di kancah Liga Malaysia selain pernah meraih pingat emas Sukan SEA dan berpengalaman beraksi di pentas Piala AFC dan kelayakan Piala ACL 2020.
Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses penamaan calon bagi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan akan berlangsung pada 29 Julai.
Hari pengundian pula ditetapkan pada 12 Ogos. -TVS