KUCHING, 13 Julai: Prototaip Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dijangka tiba di Kuching pada bulan depan untuk latihan kejuruteraan dan bukti konsep (POC).
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata prototaip itu akan menjalani latihan kejuruteraan selama dua bulan di Isthmus di sini pada September dan Oktober sebagai persediaan untuk latihan POC pada November.
“Menerusi kerjasama Jabatan Kerja Raya Sarawak, projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) akan mempercepatkan pembinaan sebahagian jajaran untuk (Blue Line) ‘Laluan Biru’,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya Laluan Biru berkenaan akan membolehkan latihan POC peringkat dua dilakukan pada November depan.
Sebelum ini katanya latihan POC peringkat satu telah dijalankan di China pada Februari tahun ini.
Lee dalam pada itu menjelaskan Laluan Biru sepanjang 27.6km, yang menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar raya Kuching meliputi sebahagian daripada Fasa Satu projek KUTS.
“Fasa pertama itu turut merangkumi pembangunan ‘Laluan Merah’ sepanjang 12.3km dari Kuching Sentral ke Pending dan ‘Laluan Hijau’ sejauh 30km dari Pending ke Damai Central,” ujarnya.
Beliau mendedahkan lagi operasi ART di bawah Fasa Satu dijadualkan bermula secara berperingkat dari suku keempat 2025 hingga suku keempat 2027.
Dalam pada itu beliau yang mengadakan tinjauan di tapak pembinaan landasan ART di Samarahan pada Selasa (11 Julai) meyakini Fasa Satu akan siap mengikut jadual ditetapkan. – TVS