KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Tiga lagi atlet paralimpik negara berjaya ke Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadual berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 Sept depan.
Majlis Sukan Negara menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter hari ini memaklumkan jaguh badminton para, Cheah Liek Hou telah mengesahkan tiket ke Tokyo apabila layak secara merit berdasarkan ranking terkininya.
Juara dunia sebanyak enam kali yang akan bersaing dalam kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas) itu layak selepas berakhirnya tempoh kelayakan yang menyaksikannya menduduki ranking kedua dunia.
Seorang lagi pemain badminton para, Didin Taresoh turut mengikut jejak langkah Cheah apabila berjaya menempah slot ke Tokyo dan akan beraksi dalam kategori SS6 (kerdil).
Didin layak secara merit selepas berakhirnya tempoh kelayakan dengan menduduki ranking ketujuh dunia.
SUKAN-PARALIMPIK (LAYAK) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sementara itu, atlet tenis kerusi roda, Abu Samah Borhan juga mengesahkan tiket kelayakan ke temasya Paralimpik secara merit.
Beliau yang menduduki ranking ke-40 terbaik dunia berjaya mengumpul 608 mata dalam sembilan kejohanan terbaik disertainya sebelum ini.
Untuk rekod, Abu Samah pernah menyertai temasya Paralimpik Rio di Brazil pada 2016 namun tersingkir pada pusingan pertama.
Sebelum ini, 10 atlet para daripada lima sukan telah layak ke temasya Paralimpik Tokyo terdiri daripada Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia dalam acara renang; S. Suresh dan Wiro Julin (memanah); Mohd Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).
— BERNAMA
, ,, Abu Samah Borhan, Tokyo