KUCHING, 13 Julai: Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Sarawak dilancarkan pada 3 Ogos depan bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPeN) Sarawak, Jaafar Jantan berkata, majlis itu merupakan kesinambungan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 peringkat kebangsaan yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad ini di Ipoh.
“Kita akan bekerjasama dengan rakan strategik kita iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sarawak dan juga badan uniform lain di negeri ini untuk kita laksanakan Program Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak.
“Kita juga akan mengadakan Kembara Jalur Gemilang dengan berkonvoi di seluruh Sarawak dan tahun ini kita ada sedikit kelainan iaitu kita akan rentas sempadan ke Sabah,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Kembara berkenaan bermula dari Kuching ke Lawas dan meneruskan perjalanan ke Sipitang.
Mengulas lanjut, Jaafar memberitahu, bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Sarawak pada tahun ini menampilkan kelainan dengan menyebarkan semangat patriotik menerusi badan beruniform.
“Kali ini kita bawa kelainan sikit, patriotik menerusi badan uniform sebab kita dapati terdapat banyak balai polis dan balai bomba di seluruh Sarawak ini.
“Menerusi konvoi itu juga, kita akan singgah di beberapa tempat yang melibatkan IPD, balai bomba dan lain-lain.
“Konvoi ini juga akan singgah di lokasi umum dan tempat bersejarah,” ujarnya. – TVS