KUCHING, 10 Julai: Jajaran tukun bebola tiruan yang dilabuhkan di sepanjang perairan Sarawak diiktiraf oleh The Reef Ball Foundation of USA sebagai terpanjang di dunia.
Panjang jajaran tukun bebola tiruan itu ialah 746 kilometer.
Pengerusi The Reef Ball Foundation of USA, Todd Ryan Barber berkata pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk melakukan kajian termasuk membandingkan tukun bebola tiruan di negara lain.
“Kami berjaya menyiapkan kajian tersebut ketika musim panas. Kemudian, saya dan pasukan kami datang ke sini untuk berikan pengiktirafan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Pada sesi berkenaan, Abang Johari Tun Openg menyaksikan penyampaian sijil dan plak oleh Todd Ryan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Zaidi Mahdi yang menerima bagi pihak kerajaan negeri.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), Zolkipli Mohamad Aton berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mencipta nama dalam Rekod Dunia Guinness bagi mengesahkan tukun bebola tiruan di Sarawak terpanjang di dunia.
“SFC adalah agensi pelaksana, jadi pengiktirafan ini adalah untuk Kerajaan Sarawak,” katanya.
Dari 1998 hingga 2022, sejumlah 23,500 tukun bebola tiruan dilabuhkan di perairan Sarawak.
SFC dalam satu kenyataan berkata Tukun Bebola Tiruan Sarawak merupakan pendekatan proaktif kerajaan terhadap usaha pemuliharaan marin dan pembangunan mampan, sejajar dengan visi jangka panjang kerajaan negeri yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030. – TVS