BALIK PULAU, 10 Julai: Tiga lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian menyeksa dan memukul seekor anjing sehingga mati di Telok Tempoyak, Batu Maung di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia antara 40 hingga 53 tahun itu ditahan antara pukul 11.45 malam tadi sehingga pukul 1 pagi tadi.
Ujarnya, suspek yang bekerja sebagai nelayan, pemandu bas dan ejen kargo itu ditahan di sekitar kawasan Batu Maung di sini.
“Kesemua suspek telah direman selama tiga hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.
“Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Kok Chin, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, TVS melaporkan, polis melakukan usaha memburu suspek selepas mengesan satu video memaparkan dua lelaki sedang memukul seekor anjing dengan kayu di dalam semak yang tular di media sosial.
Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 8.40 malam di tepi jalan kampung di Telok Tempoyak, Batu Maung Sabtu lalu. – TVS