LIMBANG, 9 Julai: Seorang pemandu dan penumpang mengalami kecederaan selepas kereta pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki terlibat kemalangan di Jalan Bakul di sini, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.11 malam.
Sebaik tiba di tempat kejadian sebuah kenderaan 4WD yang dinaiki kedua-dua mangsa mengalami kemalangan kendiri selepas terbabas ke bahu jalan dan melanggar paip.
“Seorang penumpang bahagian hadapan berusia 31 tahun di hantar ke hospital menggunakan ambulans Hospital Limbang dan seorang pemandu berusia 33 tahun masih berada di lokasi dan tidak tersepit.
“Pasukan bomba bertindak memberi bantuan mengeluarkan pemandu dan pasukan EMRS memberi rawatan awal dengan memasang peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Pemandu berkenaan katanya, mengalami kecederaan luka di bahagian jari dan mengadu sakit di bahagian belakang dan dihantar menggunakan jentera EMRS ke Hospital Limbang.
Setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai. -TVS