Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya (tengah) semasa sesi bergambar bersama pihak penganjur dan peserta kursus. Foto: TVS

KMKK perlu adakan pelbagai program di peringkat akar umbi

MIRI, 11 Julai: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan digalakkan untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi mengadakan pelbagai program di peringkat akar umbi yang boleh dilakukan di kawasan masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, penganjuran pelbagai program akan memberi impak kepada kerajaan, selain membangunkan penduduk setempat.

“KMKK adalah nadi kepada rakyat. Anda semua perlu memberi banyak impak kepada kerajaan. Beri pandangan apa lagi yang perlu dilakukan oleh kerajaan. Tolak soal kewangan sebab kerajaan akan uruskan hal itu. Beri cadangan apa lagi program peringkat akar umbi yang kita boleh lakukan seperti program pertanian, keusahawanan, kesenian dan budaya. Hal ini kerana apabila siap semua fasiliti pembangunan infrastruktur seluruh Sarawak dalam masa tiga hingga empat tahun, semua tempat dapat dihubungi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat Siri 2/2023 di Hotel Imperial Palace hari ini.

Sarawak dilihat kaya dengan pelbagai budaya dan kesenian, lantas Juanda melihat perkara ini boleh dimanfaatkan oleh setiap kampung bagi menarik pelancong datang ke kawasan mereka tanpa penduduk kampung rasa perlu berhijrah ke bandar bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita tidak mahu orang kampung berhijrah ke bandar secara besar-besaran sebab apabila berlaku ketersambungan, bandar sudah tidak jauh lagi. Kita mahu yang di kampung kekal di kampung tetapi mereka masih boleh cari rezeki di dalam kampung. Saya tahu Sarawak ada pelbagai budaya dan kesenian.

“Ini kita boleh hidupkan sebab ia akan membawa kepada hasil ekonomi. Pelancong akan datang. Kita mungkin rasa biasa sebab setiap hari kita lihat tapi orang luar lihat ini kelebihan yang ada di Sarawak,” katanya lagi.

Juanda menyarankan pihak KMKK untuk berhubung dengan Pejabat Daerah dan Pejabat Residen bagi bekerjasama mengadakan pelbagai program yang boleh dijalankan di setiap kawasan masing-masing.

Hal ini bagi memastikan bukan sahaja aktiviti ekonomi akan bergerak, malahan pendapatan sampingan penduduk kampung akan meningkat sekali gus dapat mengubah gaya hidup penduduk kampung menjadi lebih baik pada masa akan datang.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan