KUCHING, 9 Julai: Bidang seni yang dilihat mampu memupuk nilai perpaduan dan keterangkuman perlu dimartabatkan dalam usaha untuk merealisasikan agenda memperkukuh perpaduan
Penaung Diraja Euroasia Association of Performing Arts, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz berkata, dalam era yang dibelenggu dengan isu perpecahan kaum, polarisasi dan provokasi adalah penting untuk Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan menyokong apa jua agenda yang boleh memupuk nilai tersebut, termasuklah bidang seni.
Katanya, walaupun kuasa pemasaran memainkan peranan penting, namun sokongan dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta sektor swasta adalah penting dalam mengangkat bidang seni di peringkat yang lebih tinggi.
“Ia sudahpun menjadi agenda negara dan jika ia adalah agenda negara maka ia sepatutnya menjadi perkara yang disokong kerajaan serta sektor swasta. Prodigy dan Euroasia turut menyumbang kepada misi ini. jadi, saya berharap kerajaan sedar nilai yang terdapat dalam persembahan dan budaya dalam mencapai perpaduan sejagat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita TVS pada acara “Abiding Times 2” Book Signing and Mini Performances yang merupakan antara program dianjurkan di bawah Prodigy Royal Festival 2023 di Pustaka Negeri Sarawak, pada Sabtu.
Menyentuh mengenai perpaduan Sarawak, Tunku Zain Al-‘Abidin berkata, ia jelas kelihatan meskipun melalui persembahan seni tarian serta muzik.
“Saya tidak dapat menyentuh mengenai sejarah Sarawak tetapi saya boleh lihat melalui persembahan hari ini, rakyat Sarawak datang dari latar belakang yang berlainan, berlainan budaya dan tradisi. Mereka meraikan bakat serta persembahan budaya antara satu sama lain dan saya rasa itu adalah langkah pertama. Ia menunjukan sifat saling hormat menghormati dan ia patut menjadi pemangkin perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Zain Al-‘Abidin turut berharap melalui karya penulisan beliau “Abiding Times 2” boleh mengubah pemikiran golongan belia ke arah pemikiran yang lebih terbuka.
Katanya, ia penting untuk mendedahkan generasi muda di Malaysia kepada pemikiran dalam perspektif yang berbeza mengenai sesuatu perkara.
“Saya menulis untuk menghibur dan mendidik. Saya turut berharap jika pembaca mengubah pemikiran mereka atau mendapat perspektif yang berbeza terhadap sesuatu perkara berkaitan isu yang saya tulis, saya gembira kerana saya telah memenuhi peranan saya sebagai seorang penulis. Untuk membantu mencetuskan pemikiran tertentu,” katanya.
Abiding Times 2 merupakan kompilasi artikel penulisan Tunku Zain Al-‘Abidin dari tahun 2011 yang dimuatkan dalam kolum surat khabar tempatan.
Ia menyentuh gaya pemikiran golongan belia berkenaan isu semasa dan kepentingan negara serta pembangunan nasional. – TVS