KINABATANGAN, 8 Julai: Jangan cuba memperlekehkan cogan kata rasmi Sabah Maju Jaya, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, cogan kata tersebut merupakan hala tuju negeri dalam memperkasakan pembangunan ekonomi dan sosiobudaya di negeri itu.
“Kita pilih nama SMJ kerana ia terletak di jata negeri sejak awal kemerdekaan kita lagi, cogan kata itu martabatkan lagi dan memperkasakan lagi negeri kita.
“Ini SMJ pun jadi kritikan, mereka yang dengki dengan kita, mereka dulu pun tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang, SMJ air tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Himpunan Gagasan Rakyat di Sukau, Kinabatangan, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Penerangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Dato’ Juhari Janan dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag, Abu Bakar Gapar. – TVS