KUCHING, 8 Julai: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan tarif elektrik sendiri dengan memberi fokus kepada aktiviti pengeluaran tenaga baharu demi kelestarian masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menetapkan kadar tarif elektrik yang tinggi akan mempengaruhi peluang pelaburan ke negeri ini.
“Kita beri tumpuan kepada aktiviti pengeluaran tenaga agar kita boleh tentukan tarif elektrik sendiri, dan kadar tarif elektrik di Sarawak adalah yang terendah di rantau ini.
“Kami kini melakukan ujian percubaan untuk menghasilkan tenaga hibrid antara solar dan angin, dan hasilnya agak positif,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.
Usaha itu berkaitan dengan projek pembinaan PT Kayan Hydropower Nusantara dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) yang akan membangunkan stesen jana kuasa hidro terbesar di Indonesia bermula pada suku pertama 2024 akan datang.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden ACCCIM, Dato’ Low Kian Chuan dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak Bersekutu (ACCCIS) Dato Tan Jit Kee.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Sarawak mempunyai 25 peratus ekuiti projek tersebut melalui SEB, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Sarawak-Nusantara.
Tambah beliau, Sarawak akan meneruskan polisi pelaburan di luar negara seperti perdagangan tenaga elektrik kepada Singapura.
“Kita telah berdagang di Indonesia dan Singapura, Singapura kemudiannya akan membalas dari segi pelaburan dan hasilnya kemudian akan dapat digunakan untuk menjana ekonomi negeri,” katanya. – TVS