KUCHING, 8 Julai: Sarawak akan mengeksport 1.5 juta tan hidrogen ke Korea Selatan menjelang 2027 bagi membantu memenuhi keperluan negara tersebut sekali gus bakal meningkatkan bekalan sehingga 3 juta tan pada tahun 2030, kata Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata usaha terbaharu itu memperlihatkan Sarawak tidak hanya sekadar merancang untuk menjadi pembekal hidrogen bagi rantau Asia Pasifik sebaliknya Sarawak sedang melaksanakan usaha tersebut.
“Sebagai sebahagian daripada dasar tenaga hijau Korea Selatan, negara berkenaan memerlukan 3 juta tan hidrogen setahun menjelang 2030.
“Oleh itu, menjelang 2027, Sarawak akan mengeluarkan 1.5 juta tan untuk Korea Selatan.
“Inilah yang kita sedang lakukan, orang lain sibuk cuba menetapkan sasaran tetapi kita sibuk merealisasikannya.
“Inilah apa yang dimaksudkan dengan kurangkan bercakap, banyakkan kerja. Buktikan keikhlasan anda dengan tindakan, bukan hanya sekadar bercakap,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-133 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI) di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan kesediaan Sarawak untuk menjadi pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027 sekali gus merealisasikan visi untuk menjadikan negeri ini ke arah ekonomi hidrogen.
Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan pemain industri di Korea Selatan dengan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU).- TVS