KUALA LUMPUR, 6 Julai: Kerajaan komited dalam menerajui kemampanan industri sawit termasuk mengehadkan keluasan kawasan tanaman sawit negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata bagi meningkatkan pengeluaran minyak sawit, usaha difokuskan kepada kawasan tanaman sedia ada melalui aktiviti penanaman semula menggunakan baka yang akan memberikan hasil tinggi dan menerusi amalan pertanian baik.
“Kemampanan sektor sawit kini merupakan isu global yang perlu ditangani bersama bagi keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya pada majlis perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini. – TVS